WARGA MIDA MENUNAIKAN TANGGUNGJAWAB KORPORAT ANJUR KEMPEN MENDERMA DARAH UNTUK MENYELAMATKAN KEHIDUPAN

12 Jul 2013 11:19
KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Kelab MIDA, iaitu kelab yang berperanan menjaga kebajikan dan kepentingan seluruh kakitangan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah menganjurkan kempen menderma darah yang bertemakan "Menderma Darah Untuk Menyelamatkan Kehidupan" pada hari ini di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur Sentral. Menurut En. Jaswant Singh yang merupakan Pengarah Kanan Sistem-Eko Pelaburan merangkap Presiden kelab MIDA, "Kempen ini dianjurkan bagi memupuk nilai murni di kalangan warga MIDA dan masyarakat selain menimbulkan semangat untuk membantu golongan yang memerlukan melalui aktiviti derma darah. Ianya juga bertujuan untuk membantu Pusat Darah Negara dalam aktiviti pengumpulan darah yang semakin berkurangan ketika ini terutamanya pada bulan puasa yang akan datang." Tambah beliau lagi, "Ini merupakan acara tahunan yang telah bermula sejak tahun 2008. Pada tahun 2012, kempen derma darah ini telah mendapat sambutan seramai 58 orang penderma. Bagi tahun 2013, Kelab MIDA telah menarik lebih 100 orang penderma." Kelab MIDA telah ditubuhkan pada tahun 1967 dan sentiasa aktif dalam merancang dan mengendalikan aktiviti-aktiviti yang bertujuan untuk meningkatkan semangat kekeluargaan dan perpaduan dikalangan kakitangan MIDA. Bagi menyelaraskan perlaksanaan aktiviti kelab, 6 biro telah dipertanggungjawabkan bagi melaksanakan aktiviti yang telah dirancang iaitu Biro Kebajikan, Biro Sosial, Biro Sukan, Biro Rekreasi, Biro Publisiti dan Kelab Kopi. SUMBER: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: Nama : Mr. Muhamad Amin b. Meera Tambi Investment Communications Unit, MIDA TEL : (603) 2263 2432 FAKS : (603) 2273 4211 MOBILE : 016-2843879 EMEL : amin@mida.gov.my --BERNAMA